GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Khidir Zakaria


PENIAGA telefon bimbit rugi sebanyak RM4,900 apabila wang miliknya dipindahkan ke akaun tidak dikenali dalam satu kejadian di Lukut, Port Dickson semalam.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu mendakwa diperdaya sindiket penipuan selepas menerima panggilan daripada seorang individu dengan mendakwanya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Individu berkenaan didakwa menghubungi mangsa menggunakan nombor talian telegon bimbit dan mendakwa dari LHDN Cyberjaya.

Peniaga berkenaan didakwa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 tetapi mangsa menafikannya sebelum dan panggilan berkenaan disambungkan ke pejabat polis di Kuantan untuk tujuan membuat laporan secara dalam talian.

Panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada pegawai Bank Negara sebelum mangsa diminta memmuat naik aplikasi MyBNM kononnya untuk tujuan keselamatan supaya wang di dalam akaun mangsa tidak ditolak untuk tunggakan cukai itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa akhirnya memuat naik aplikasi seperti yang diminta sebelum memasukkan butiran nombor akaun, nombor kad debit, nombor pin serta kata laluan perbankan dalam talian miliknya.

Menurutnya, mangsa diminta untuk menunggu dalam tempoh antara satu hingga dua jam untuk tujuan kemas kini akaun.

“Bagaimanapun, semakan secara dalam talian mendapati wang dalam satu akaun miliknya sudah dipindahkan kepada akaun yang tidak dikenali dalam satu transaksi berjumlah RM4,900.00

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan selepas mengesyaki dia ditipu oleh sindiket terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.

Aidi Sham berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai pihak penguat kuasa atau institusi kewangan.

Menurutnya, orang ramai juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:41 PM