FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


PADAH meminum arak secara berkumpulan, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini, selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM700 terhadap R Prem Anantan, 22, M Krishnne, 22, dan B Chandra Kumar, 24, yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh berkumpul di kawasan lapang tepi jalan di Taman Bahau sambil meminum minuman keras dan makan pada 11 April lalu, 7.30 malam, bagi maksud bersosial tanpa mematuhi arahan PKP.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam turut mengarahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang lelaki warga Indonesia turut dituduh kerana melanggar arahan PKP.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Muktarudin, 24, ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 3 Jalan Bahau-Kemayan dan didapati bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam daerah Jempol, pada 11 April lalu, 3.30 petang.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama.

Tertuduh yang sama turut dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (pindaan 2002) kerana menggunakan pas lawatan sosial yang tamat tempoh pada 7 Julai 2017.

Bagi hukuman ingkar PKP tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari manakala bagi kes imigresen tertuduh dihukum penjara empat bulan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 2:57 PM