FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


ENAM warga asing dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM500 ke atas warga India, S Kumarasamy, 44, manakala dua rakan senegaranya, S Bodasingu, 28, dan k Jatinder, 35, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM1,000.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 6.30 petang 17 April lalu didapati berada di padang bola Taman Desa Puteri, Bahau dan didapati ingkar arahan PKP.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam mengarahkan Kumarasamy menjalani hukuman penjara satu bulan manakala Bodasingu dan Jatinder selama dua bulan, jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Kumarasamy turut dijatuhi hukuman penjara 30 hari selepas didapati bersalah menggunakan pas lawatan sosial sudah tamat tempoh dan dihukum mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155 (Pindaan 2002).

Sementara itu, Khir Nizam menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM1,000 ke atas tiga warga Bangladesh, Rafique Sikder, 43; Sykot, 28, dan Md Nazmul Akonda, 42, kerana ingkar PKP.

Ketiga-tiga tertuduh ditahan dalam satu sekatan jalan raya pada 17 April lalu di Kilometer 0.4 Jalan Bahau - Rompin dan didapati bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dalam kawasan jangkitan.

Khir Nizam turut mengarahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 3:06 PM