ANGGOTA polis sukarelawan menyerahkan dompet milik seorang lelaki yang tercicir di sebuah pasar raya di Bandar Kinrara, semalam. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis sukarelawan menyerahkan dompet milik seorang lelaki yang tercicir di sebuah pasar raya di Bandar Kinrara, semalam. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


KEJUJURAN dua anggota polis memulangkan dompet seorang lelaki yang tercicir di sebuah pasar raya di Bandar Kinrara, Serdang, semalam, wajar dipuji.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kedua-dua anggota terbabit iaitu Konstabel S Vadivelan dan Konstabel S Piragas sedang melakukan kawalan keselamatan di pasar raya berkenaan sebelum menemui dompet berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dompet itu mengandungi wang tunai RM850 dan dokumen pengenalan diri.

“Mereka terus menyerahkan kepada pemiliknya selepas mengetahui lelaki berkenaan masih berada di dalam pasar raya itu.

“Malah, kedua-dua anggota polis sukarelawan itu turut menasihati lelaki berkenaan supaya lebih berhati-hati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas nilai murni ditunjukkan kedua-dua anggota polis sukarelawan itu kerana bertindak pantas dan berjaya memulangkan semula dompet berkenaan kepada pemiliknya.

“Kejujuran dan sikap tanggungjawab yang ditunjukkan kedua-dua anggota polis sukarelawan ini wajar dipuji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 12:17 PM