FOTO Hiasan. FOTO Mustaffa Kamal
FOTO Hiasan. FOTO Mustaffa Kamal
Raja Noraina Raja Rahim


PERSATUAN Pengguna Siber Malaysia (MCCA) memandang serius isu ‘unauthorized transaction’ yang tular di media sosial ketika ini.

Ketua Keselamatan Siber MCCA, Mohamad Zulfahmy Roslan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang membabitkan satu institusi kewangan terbesar di Malaysia.

“Kami menekankan supaya pihak institusi kewangan telus dalam mengeluarkan maklumat penyata kewangan supaya tidak menimbulkan persoalan atau keraguan terhadap pengguna.

“Penggunaan TAC perlu diperketatkan agar tiada ketirisan wang. Ini bukan kali pertama institusi kewangan membuat onar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zulfahmy berkata, MCCA mahu penjelasan secara telus daripada pihak bertanggungjawab mengenai situasi itu.

Beliau turut menasihat orang ramai supaya berhati-hati dengan penggunaan kad debit atau kad kredit ketika melakukan transaksi dalam talian di laman sesawang yang diragui.

“Anda juga dinasihatkan untuk memaksimumkan penggunaan kad prabayar untuk mengelak maklumat kad dan peribadi terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, sebarang aduan boleh diajukan kepada MCCA di laman web rasmi https://cyberconsumer.my.

Rata-rata netizen hari ini mempersoalkan sistem perbankan CIMB Bank selepas wang mereka didapati lesap dengan transaksi ditulis ‘direct debit’.

Bagaimanapun, CIMB Bank mengesahkan transaksi ‘direct debit’ yang tular di media sosial ketika ini adalah sah yang dibuat pelanggan.

CIMB Bank menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan insiden terpencil itu adalah berkenaan transaksi tidak lengkap yang dibuat pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:58 PM