KEADAAN kenderaan mangsa yang dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Simpang 3 Keladi. FOTO IHSAN JBPM
KEADAAN kenderaan mangsa yang dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Simpang 3 Keladi. FOTO IHSAN JBPM
Nor Farhani Che Ad


DUA maut selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Simpang 3 Keladi, di Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, mangsa Mohd Azrull Ibrahim, 35, dan Maslinda Abd Manap, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan pada 1.54 tengah hari.

Menurutnya, sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dengan kekuatan dua jentera dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

“Penumpang kenderaan terbabit tercampak keluar dari kereta manakala pemandunya tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ehsan berkata, tindakan mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 4:32 PM