RINA (dua dari kanan) ketika mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu (kanan) ketika membuat lawatan ke Bilik Gerakkan Bencana covid-19 di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR). FOTO ADNAN IBRAHIM
RINA (dua dari kanan) ketika mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu (kanan) ketika membuat lawatan ke Bilik Gerakkan Bencana covid-19 di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR). FOTO ADNAN IBRAHIM
Redzuan Muharam


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menghargai keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi melancarkan pengurusan sumbangan, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan satu garis panduan (SOP) bagi membolehkan NGO terbabit dalam aktiviti penyaluran kepada kumpulan sasar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah itu bertujuan memastikan aktiviti penyaluran dilaksanakan mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Antara SOP ditetapkan seperti NGO terbabit mestilah berorientasikan kebajikan dan perlu menghubungi bilik gerakan JKM negeri sehari sebelum aktiviti penyaluran sumbangan.

"Selain itu, hanya barangan kering dan bermasak saja dibenarkan untuk disalurkan dengan anggota NGO terbabit mesti memakai topeng muka , sarung tangan serta membawa pembasmi kuman ketika aktiviti pengagihan sumbangan.

"Anggota NGO juga perlu diperiksa suhu bahan dengan yang bergejala tidak dibenarkan terbabit, menjaga jarak sosial dan terhad hanya dua anggota (NGO) saja yang perlu disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Rina, KPWKM amat menghargai hasrat NGO untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan sumbangan kepada rakyat dapat dilakukan secara lebih efektif.

"NGO berminat boleh menghubungi talian bilik gerakan pejabat JKM negeri yang beroperasi selama 24 jam," katanya.

Menurut rekod ,terdapat 16 bilik gerakan beroperasi di seluruh negara dengan ibu pejabatnya terletak di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:03 PM