HAMDEN MOHAMMAD
HAMDEN MOHAMMAD
Melvin Joni


AKTIVITI berkaitan pembalakan, industri perkilangan papan lapis dan kayu gergaji serta perladangan hutan dibenarkan beroperasi di Sarawak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Hamden Mohammad berkata, kebenaran itu tertakluk kepada penggunaan tenaga kerja yang minimum dan mematuhi ketetapan serta syarat-syarat yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak.

“Mereka juga dikehendaki mengambil langkah-langkah pengawalan yang ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya kebenaran juga diberikan kepada kenderaan mengangkut balak ke kilang yang diluluskan beroperasi oleh kerajaan termasuk di kawasan Samalaju dan Samajaya.

Katanya, Removal Pass (RP) akan dikeluarkan kepada muatan berkenaan oleh JHS, bagaimanapun pemandu terbabit mesti mendapatkan permit khas dari Jawatankuasa Bencana Peringkat Bahagian (Pejabat Residen) yang berdekatan.

Pada masa sama, Hamden berkata kerajaan Sarawak turut membenarkan eksport kayu balak dilaksanakan seperti biasa dalam tempoh PKP.

“Namun, pengeksport mesti mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju memberi diskaun 30 peratus terhadap Sewa Tanah Tahunan (ALR) bagi tempoh pembayaran tahun 2020 kepada 43 pemegang lesen ladang hutan di Sarawak.

“Diharap insentif ini dapat untuk mengurangkan beban pihak syarikat dalam menghadapi tempoh kegawatan dan membantu kebajikan pekerja masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 4:53 PM