ANGGOTA bomba memadam kebakaran pada hari terakhir pemadaman api seluas lapan hektar bukit di Bukit Ternas, Mukim Sok Sik.  FOTO IHSAN Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran pada hari terakhir pemadaman api seluas lapan hektar bukit di Bukit Ternas, Mukim Sok Sik. FOTO IHSAN Bomba
Zuliaty Zulkiffli


OPERASI memadam kebakaran di kawasan seluas lapan hektar di Bukit Ternas, Mukim Sok Sik dekat Sik sejak seminggu lalu ditamatkan sebaik api dipadamkan sepenuhnya, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi bermula 25 Mac lalu ditamatkan pada 5.13 petang.

Menurutnya, operasi pemadaman berkenaan turut menggunakan khidmat helikopter dan pasukan Multi Skill Team (MUST).

“Pasukan operasi menggunakan pacuan empat roda melalui jalan balak sejauh hampir tiga kilometer dari kaki bukit dan berjalan kaki ke puncak sekurang-kurangnya lima jam.

“Selain itu, anggota juga berdepan dengan laluan curam menuju ke puncak, dengan dibantu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah,” katanya.

Dalam kejadian 25 Mac lalu, kebakaran dipercayai berlaku pada 5 petang di bahagian tengah puncak bukit membabitkan kawasan seluas lapan hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:09 PM