PASUKAN SAR mencari penuntut IPT yang sesat selepas terpisah daripada kumpulan utama di Jalan Ulu Bayong, Sarikei, semalam. - FOTO Khalid Latip
PASUKAN SAR mencari penuntut IPT yang sesat selepas terpisah daripada kumpulan utama di Jalan Ulu Bayong, Sarikei, semalam. - FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


NASI putih berlauk sambal sardin dan kari ayam menjadi hidangan pertama dijamah dua penuntut Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) sebaik ditemui pasukan penyelamat selepas 24 jam hilang ketika menyertai ekspedisi menjelajah hutan di Jalan Ulu Bayong, Sarikei, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Suna Kaha berkata kedua-dua mangsa, Azizan Amir Mohd Nizam, 21, dan Lister Emperang Matu, 25, ditemui dalam keadaan lemah serta kelaparan pasukan penyelamat pada 2 petang hari ini.

“Mereka ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi asal program berkenaan diadakan dan dalam keadaan lemah, manakala di seluruh badan mereka terdapat kesan gigitan serangga.

“Berdasarkan maklumat, dua penuntut itu dipercayai tersesat dan gagal mencari jalan keluar selepas terpisah dengan kumpulan induk, selain keadaan persekitaran gelap, semalam” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Awang Alfian Awang Bujang, berkata satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jakar, 8 malam tadi oleh bapa kepada salah seorang mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada 20 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai aktiviti menjelajah hutan di Jalan Ulu Bayong.

“Kita dimaklumkan 20 individu masuk ke dalam hutan itu, namun hanya 18 daripada mereka berjaya keluar.

“Berikutan itu, rakan mangsa bergegas memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung sebelum pencarian dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS),"

Katanya, gerakan SAR kemudian dilancarkan 7.30 pagi hari ini dengan lokasi pencarian bertumpu di kawasan beradius dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan, yang turut dibantu unit elit bomba, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi Skill Team (MUST).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 6:26 PM