PENUMPANG LRT memakai penutup mulut sebagai langkah pencegahan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Stesen Masjid Jamek. FOTO Asyraf Hamzah
PENUMPANG LRT memakai penutup mulut sebagai langkah pencegahan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Stesen Masjid Jamek. FOTO Asyraf Hamzah
Yusmizal Dolah Aling


ORANG ramai digesa berwaspada dengan pelbagai tawaran mendapatkan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan secara atas talian yang dikesan memperdaya orang ramai yang terdesak mendapatkan bekalan.

Itu antara aduan diterima Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mengenai barangan tidak sampai selain hanya menerima kotak kosong biarpun bayaran sudah dibuat menerusi perbankan online.

Presidennya Siraj Jalil berkata, berdasarkan aduan diterima Pusat Operasi MCCA, jumlah aduan mengenai penipuan didapati meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan 18 Mac lalu.

Menurutnya, pergantungan orang ramai terhadap pembelian secara atas talian menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut untung mudah, bukan saja menjual barangan lebih mahal daripada biasa, malah ada yang sanggup menipu pembeli memerlukan kedua-dua barang itu.

“Setiap hari anggaran sepuluh kes yang kita terima sejak seminggu lalu, semuanya mengenai penipuan pembelian barangan secara online. Jumlah keseluruhan berbelas ribu ringgit. Ia semacam satu trend ketika rakyat Malaysia tertumpu kepada media sosial baik untuk mendapat perkembangan terkini mahu pun membuat pembelian.

“Kita juga kesan wujud scammer yang memantau setiap keputusan kerajaan terutama membabitkan penggunaan aplikasi, mereka menggunakan teknik phishing, ada juga yang mewujudkan laman sesawang menyerupai web rasmi kerajaan semata-mata untuk menyaring maklumat peribadi dimasukkan pengguna,” katanya kepada Harian Metro.

Siraj berkata, scammer ini memantau perkembangan terkini penularan Covid-19 kerana banyak pengumuman penting seperti bantuan kepada rakyat yang dibuat kerajaan akan menggunakan perbankan atas talian.

Katanya, dari situ, mereka akan mencari peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin data peribadi atau menyamar menjadi pihak berwajib bagi mendapatkan wang pengguna menerusi pemindahan kredit.

“Jadi, kita minta Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melihat isu keselamatan siber terutama dalam baki tempoh PKP ini agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 3:43 PM