DR Christina Rundi. FOTO Arkib NSTP
DR Christina Rundi. FOTO Arkib NSTP
Yun Mikail


SEBANYAK 82 kes positif Covid-19 di Sabah membabitkan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian dari 158 kes positif dilaporkan di seluruh Sabah setakat ini.

Beliau berkata menerusi jumlah keseluruhan itu juga 71 kes membabitkan kontak rapat jemaah tabligh berkenaan dan selebihnya tidak berkaitan dengan semua kes dinyatakan.

“Siasatan, kawalan dan pencegahan masih giat dilaksanakan supaya wabak ini tidak terus menular.

“Selain itu, kita juga masih giat mencari baki jemaah tabligh yang masih belum membuat saringan kesihatan Covid-19 dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu

Dalam kenyataan sama, Christina turut menafikan mesej tular berkaitan terdapat isteri kepada jemaah tabligh berkenaan positif wabak terbabit dan ada membawa anak yang batuk ke salah sebuah klinik di Penampang.

Beliau berkata mesej itu adalah tidak benar dan meminta orang awam tidak mempercayai sebarang mesej tular tanpa kesahihan dibuat Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) Sabah.

Sementara itu, Christina menyatakan setakat ini hanya seorang pesakit Covid-19 dibenarkan pulang dan dimasukkan ke pusat kuarantin selepas dua sampel Orofarinks disahkan negatif.

Bagaimanapun, pesakit berkenaan meneruskan kuarantin sehingga 31 Mac hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 9:19 AM