TINJAUAN aktiviti jemaaah selepas seorang warga emas positif COVID-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias
TINJAUAN aktiviti jemaaah selepas seorang warga emas positif COVID-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias
Yun Mikail


SERAMAI 1,895 jemaah tabligh terbabit perhimpunan ijtimak tabligh, Masjid Sri Petaling sudah menjalani pemeriksaan kesihatan Covid-19.

Jumlah berkenaan adalah sebahagian 2,426 jemaah yang berjaya dikesan di Sabah ketika ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, proses pengesanan bagi menjejak individu yang berkenaan diteruskan dari semasa ke semasa supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19 di Sabah.

“Selain itu, semua kontak rapat jemaah tabligh ini turut diminta datang membuat pemeriksaan kesihatan di semua hospital atau klinik kesihatan berhampiran sebagai langkah pencegahan.

“Pemantauan ketika ini sentiasa dilaksanakan termasuk menerusi semua platform media sosial dan aduan secara perseorangan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata semua peralatan bagi merawat pesakit Covid-19 di negeri berkenaan masih mencukupi dan mampu menampung keperluan ketika ini.

“Kita mempunyai enam hospital pakar di Sabah yang dikenal pasti bagi menempatkan pesakit Covid-19 seperi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu, Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent Sandakan.

“Semua hospital ini mempunyai kira-kira 352 katil khusus untuk pesakit wabak ini sahaja. Kita juga merancang untuk mengosongkan wad sekiranya bilangan pesakit Covid-19 ini semakin bertambah.

“Pemantauan dilakukan setiap hari dan kita melihat keperluan pertambahan wad ini memerlukan atau tidak sepanjang hari. Langkah diambil buat masa ini adalah mengoptimakan penggunaan katil yang ada di semua hospital ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya setakat ini memiliki 28,000 kakitangan di seluruh negeri yang boleh diarahkan bertugas sekiranya keadaan mendesak.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,000 ialah jururawat manakala 2,000 adalah doktor terlatih. Kita juga akan mengarahkan pelajar pelatih yang sedang menjalani latihan untuk membantu kakitangan sedia ada jika diperlukan selain meminta bantu sukarelawan.

“Saya faham ramai dalam kalangan kakitangan kita ada yang bekerja hingga tempoh 24 jam dan pastinya memerlukan rehat. Oleh itu, kita sentiasa memikirkan langkah terbaik bagi mengatur tenaga kerja supaya mencukupi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 2:50 PM