BEKALAN barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran mencukupi di Pasar Besar, Alor Setar. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
BEKALAN barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran mencukupi di Pasar Besar, Alor Setar. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar, di sini, tidak menjejaskan bekalan makanan dan keperluan harian kerana masih mudah diperolehi.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, hari ini mendapati barang basah seperti ikan dan sayur dijual seperti biasa, namun jumlah kehadiran pengunjung agak berkurangan.

Pengerusi Peniaga-Peniaga Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharif berkata, pengunjung ke pasar itu berkurangan lebih 70 peratus, sekali gus menyebabkan jualan peniaga merosot.

"Untuk bekalan tiada sebarang masalah kerana pemborong bekerjasama dengan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi jaminan bekalan barang basah di pasar borong mencukupi sepanjang 14 hari pelaksanaan PKPD.

"Harga barang juga stabil, cuma kita kekurangan pelanggan, malah jualan di kedai runcit saya merosot teruk apabila hanya mampu meraih pendapatan bersih tidak sampai RM100 sehari," katanya.

Sementara itu, penjual ikan, Khairul Nizam Othman, 40, berkata beberapa jenis ikan tidak dapat dijual berikutan ramai nelayan di Kuala Kedah tidak keluar ke laut, selain peraih luar Kota Setar tidak dapat masuk ke daerah ini.

Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan kembung masih banyak dan harganya tidak melambung apabila dijual pada harga antara RM3 hingga RM8 sekilogram mengikut saiz.

"Bekalan ikan kembung memang banyak, cuma bekalan ikan seperti selayang, kerisi dan tenggiri agak berkurangan kerana kami difahamkan nelayan tidak dapat menangkap ikan.

"Ketika ini, kami memang tidak boleh buat apa, peniaga perlu akur dengan arahan kerajaan dan berharap pelanggan kembali ramai seperti biasa selepas PKPD tamat," katanya.

Pelanggan, Khairudin Ilias, 47, berkata dia sekeluarga tidak mengalami sebarang masalah mendapatkan bekalan makanan basah atau kering sepanjang tempoh PKPD ini.

"Bekalan makanan di pasar dan pasar raya juga masih banyak, orang ramai juga tidak lagi melakukan pembelian panik, jadi kami memang tidak mengalami apa-apa masalah.

"Saya juga perhatikan tiada kenaikan harga barang di pasar, dan disebabkan itu saya hanya membeli bekalan makanan untuk tiga hari sahaja," kata bapa kepada tujuh anak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 2:26 PM