DUA lelaki yang ditahan bersama barang rampasan. FOTO Ihsan PGA.
DUA lelaki yang ditahan bersama barang rampasan. FOTO Ihsan PGA.
Adnan Ibrahim


BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok susulan serbuan di sebuah rumah di Taman Soga, Batu Pahat, semalam.

Dalam serbuan 11.30 pagi itu, dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun ditahan dan 415,120 batang rokok dirampas bersama wang tunai RM9,720.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Jaafar Kaimi berkata, Ops Nyah 1 itu digerakkan selepas maklumat awam dan risikan yang dilakukan anggotanya.

“Dalam serbuan itu, pelbagai jenis rokok seludup ditemui tersimpan di ruang tamu rumah. Kita juga merampas wang tunai dan jumlah keseluruhan rampasan RM609,288.

“Turut disita sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk pengedaran rokok itu di pasaran sekitar Taman Soga dan kedai runcit di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaafar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan suspek serta barang rampasan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan itu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengekang penyeludupan rokok seludup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 10:04 AM