KEMALANGAN maut membabitkan Proton Iswara dan sebuah lori di Jalan Bukit Perak. FOTO ihsan bomba
KEMALANGAN maut membabitkan Proton Iswara dan sebuah lori di Jalan Bukit Perak. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


MEKANIK maut selepas Proton Iswara dipandunya melanggar longgokan pasir sebelum terbabas dan melanggar lori dari arah bertentangan di Jalan Bukit Perak, Pendang, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, Som Sak Itum, 39, dari Kampung Begia, Sik maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu berseorangan dari Kampung Begia hendak ke Kampung Naka melanggar longgokan pasir menghala ke Sungai Tiang.

"Akibatnya, kereta itu hilang kawalan dan melanggar lori yang datang dari arah bertentangan.

"Proton Iswara itu terputus dua dan mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaannya itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya.

Katanya, pemandu lori berusia 52 tahun dari Telaga Mas, Pokok Sena tidak mengalami kecederaan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zukri Jusoh tiba di lokasi pada 10.09 malam.

"Sebaik tiba di lokasi mangsa sudah meninggal dunia selepas disahkan oleh paramedik.

"Tindakan BBP Pendang menyerahkan mangsa kepada polis dan membuat kerja pembersihan di lokasi kemalangan serta memastikan lokasi selamat untuk digunakan oleh pengguna lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 10:44 AM