ARIFFIN Samsudin menunjukkan sebahagian  8,201 unit selipar dan kasut tiruan bernilai RM343,440 yang dirampas di Lorong Haji Taib pada sidang media di Stor KPDNHEP. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
ARIFFIN Samsudin menunjukkan sebahagian 8,201 unit selipar dan kasut tiruan bernilai RM343,440 yang dirampas di Lorong Haji Taib pada sidang media di Stor KPDNHEP. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas 8,201 unit selipar dan kasut tiruan bernilai RM343,440 di Lorong Haji Taib, di sini, semalam.

Pengarahnya Ariffin Samsudin berkata, pihaknya yang menjalankan risikan selama tiga minggu menyerbu tiga premis pada jam 12 tengah hari membabitkan 13 pegawai dan wakil daripada pemilik cap dagang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis pertama menemui barangan selipar berjenama Adidas, Gucci, Fila, Nike, Louis Vuitton, Tommy Jeans dan Birkenstock sebanyak 1,980 unit disyaki tiruan bernilai RM19,800.

“Turut ditahan pekerja lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun yang direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Selain itu, hasil pemeriksaan di dua lagi premis berhampiran, kami merampas kasut dan selipar jenama Adidas, Nike, Timberland, Louis Vuitton, Van’s, Onitsuka Tiger, Versace, Clarks, Puma, Gucci, Fila, Balenciaga dan Ferrari sebanyak 6,221 unit disyaki tiruan,” katanya pada sidang media di Stor Pejabat KPDNHEP, Kuala Lumpur, hari ini.

Ariffin berkata, nilai sitaan di dua premis terbabit pula sebanyak RM323,640 di mana siasatan mendapati premis ini sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Barangan ini dijual sekitar RM30 hingga RM90 dan kita akan mengadakan pemantauan lebih banyak menjelang hari raya nanti.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Sementara itu, katanya, bermula 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 16 kes mengikut Akta Cap Dagangan 2019 diambil dengan sitaan 20,161 unit bernilai RM2.32 juta.

“Tujuh daripada kes itu membabitkan 18 tangkapan terdiri sembilan warga tempatan dan sembilan lagi warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:10 PM