BERNAMA

MESYUARAT Kabinet pertama dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, memutuskan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah segera mendepani cabaran ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, EAC yang dipengerusikan beliau sendiri, akan bersidang setiap Isnin dengan mesyuarat pertamanya pada 16 Mac ini.

EAC akan dianggotai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beberapa individu berwibawa lain akan dipilih dan dipanggil untuk menganggotai EAC termasuk Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Semua jemaah menteri sedar terutama dalam situasi ekonomi meruncing dengan harga minyak yang turun ke paras US$30 setong, turun 31 peratus sudah tentunya akan memberi kesan kepada sumber dana kerajaan.

“Ini dibebankan lagi Covid-19 yang telah berlarutan selama beberapa minggu dan memberi impak amat besar kepada negara terutamanya dalam soal ekonomi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet itu di Putrajaya, hari ini.

“Ini adalah tindakan segera yang kita ambil untuk tunjukkan kepada negara bahawa kita tidak berlengah-lengah,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Sekretariat bersama EAC akan dibentuk menerusi pembabitan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Menjelang mesyuarat pertama EAC itu, Muhyiddin meminta pihak-pihak berkepentingan untuk mengemukakan apa sahaja perkara dan masalah menerusi kementerian-kementerian berkaitan untuk dimaklumkan kepada EAC dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Ini termasuk membabitkan kumpulan berdepan masalah iaitu B40 yang dibebani dengan kos sara hidup agak tinggi dan tidak mampu ditanggung mereka. (Perkara) ini akan diberi perhatian selain langkah-langkah lain,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan kerajaan terdahulu akan diteliti semula, termasuk jika wujud keperluan untuk menambah jumlah peruntukan.

MUHYIDDIN (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA

Jelas beliau, ini bagi memastikan kumpulan-kumpulan sasar mendapat manfaat daripada pakej tersebut selain langkah-langkah umum bagi memulihkan keyakinan pelabur.

Muhyiddin berkata, Kementerian Kewangan yang dipertanggungjawabkan bagi meneliti pakej berkenaan dan akan dilancarkan “dalam tempoh seminggu dua yang akan datang."

"(Perkara ini) Jangan dilambat-lambatkan,” katanya.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri interim ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang bernilai RM20 bilion.

Pada sidang media itu Muhyiddin turut ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula Belanjawan 2020 berikutan trend penurunan harga minyak mentah global.

“Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) diarah untuk menelitinya dalam mesyuarat EAC yang akan diadakan pada minggu depan, untuk melihat apakah situasi kewangan negara yang pastinya sudah dan makin terjejas.

“Oleh itu sama ada pengubahsuaian belanjawan itu perlu atau tidak, saya akan tunggu laporan daripada Menteri Kewangan,” kata beliau.

Mengulas sama ada kerajaan akan turut mempertimbang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata kerajaan akan melihat semua aspek berkaitan.

“Kita akan meneliti semuanya. Malah, bagi saya, adalah adil untuk kita meneliti isu-isu terbabit secara terperinci bagi melihat terdapat keperluan pengubahsuaian itu. Menteri Kewangan dan mereka yang terbabit akan membuat saranan sewajarnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:16 PM