GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


SATU Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan bagi merencanakan langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi Malaysia serta pasaran pekerjaan tempatan yang terkesan dengan Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

Jawatankuasa itu yang akan memulakan sidang pertama esok bertanggungjawab mencari keseimbangan antara pengukuhan segmen ekonomi negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang efektif.

“Fokus lain termasuk perangkaan strategi untuk menyokong prestasi enjin ekonomi Malaysia seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas sepanjang PKP serta mengurangkan kesan ke atas peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat.

“Penubuhan jawatankuasa ini juga menggambarkan tindak balas kerajaan yang responsif dalam menangani isu yang disampaikan rakyat dan komuniti perniagaan Malaysia.

“Ia akan dipengerusikan bersama Menteri Kanan (Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta ahli jawatankuasanya terdiri daripada individu yang berperanan penting dalam pembangunan ekonomi dan keselamatan negara,” katanya.

MITI juga akan menjalankan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk mendapatkan maklumat terperinci segmen ekonomi tertentu.

“Ini adalah penting bagi memastikan jawatankuasa ini dapat memberi cadangan yang spesifik berkaitan komuniti perniagaan Malaysia terutama PKS, pengilang dan pelabur.

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan mula bersidang Jumaat (esok) dan menjalankan mesyuarat keduanya pada Ahad.

“Pada akhir mesyuarat, cadangan hasil perbincangan Jawatankuasa ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) pada hari Isnin ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 11:29 AM