LAPAN lokasi diserbu dalam Op KEJA  oleh DBKL yang menyita  kerusi dan meja di sekitar Kuala Lumpur.
LAPAN lokasi diserbu dalam Op KEJA oleh DBKL yang menyita kerusi dan meja di sekitar Kuala Lumpur.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Walaupun lebih 20 kali meja kerusi pernah disita, namun pemilik sebuah restoran tidak serik apabila masih melakukan kesalahan sama dengan meletakkan peralatan di laluan pejalan kaki serta petak parkir hingga menghalang lalu lintas.

Restoran di Jalan Jejaka itu adalah antara 14 premis yang dikenakan tindakan sita terhadap kerusi, meja serta barangan lain yang menghalang lalu lintas dalam Operasi Kerusi Meja (Op KEJA) dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Isnin lalu.

Dalam operasi bermula jam 6 petang itu, puluhan premis diperiksa di lapan lokasi sekitar ibu kota.

Pengarah Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood berkata, lapan lokasi yang diperiksa adalah Plaza Sekeliling, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Dang Wangi, Jalan Padang Walter Granier, Jalan Medan Imbi, Jalan Jejaka 3, Jalan Jejaka 4 dan Jalan Jejaka 9.

“Dalam operasi itu, lebih 100 kerusi, meja dan pelbagai barangan perniagaan lain dirampas di 14 premis berkenaan selepas didapati melakukan kesalahan meletakkan halangan di laluan pejalan kaki serta petak parkir.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati ada antara restoran berkenaan pernah diserbu sebelum ini namun masih tegar melakukan kesalahan sama.

“Selain itu, ada juga pemilik restoran didapati memohon permit untuk meletakkan kerusi dan meja di luar premis namun mereka meletakkan jumlah barang terbabit melebihi angka dibenarkan,” katanya, semalam.

Azman berkata, kebanyakan pemilik restoran memberi alasan meletakkan kerusi dan meja atas permintaan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:00 PM