PAUL Yong Choo Kiong.
PAUL Yong Choo Kiong.
Balqis Jazimah Zahari


JAWATANKUASA DAP Perak mengutuk keras tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang mengumumkan keluar parti itu sekali gus menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini mereka menyifatkan tindakan ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam sebagai penghinaan kepada rakyat serta sistem demokrasi negara.

“Jawatankuasa DAP Perak mengesyorkan kepada jawatankuasa displin parti bahawa kedua-dua ADUN ini dipecat dengan segera.

“Ini adalah satu tindakan pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) dan menolak kerajaan kleptokrasi.

“Kedua-dua ADUN ini berbohong apabila mereka mendakwa keluar parti demi rakyat dan berpaling tadah menyokong (Datuk Seri) Ahmad Faizal (Azumu),” katanya.

Menurutnya, kemenangan mereka sebelum ini dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) adalah atas tiket calon DAP di bawah PH.

Katanya, kedua-dua mereka sudah hilang integriti dan tidak boleh dipercayai.

“Demi mempertahankan mandat rakyat, DAP Perak menuntut mereka meletakkan jawatan dengan segera dan memulangkan hak pilihan kepada rakyat di kawasan Tronoh dan Buntong.

“DAP Perak juga mahu ahli parti agar bersikap teguh dan berdiri bersama dengan parti dalam usaha mempertahankan pilihan dan mandat rakyat,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 5:57 PM