GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menahan empat lelaki warga asing, hari ini, selepas dipercayai terbabit dengan kes bunuh seorang lelaki di sebuah rumah di Buntong, di sini, semalam.

Difahamkan, dua daripada suspek itu mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa yang berusia 37 tahun itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kematian lelaki itu pada mulanya dilaporkan abangnya yang menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira 9.20 pagi semalam.

Katanya, mangsa dijumpai tidak sedarkan diri terbaring atas lantai dalam keadaan berbantal dan berselimut sebelum kematiannya disahkan pasukan paramedik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Beliau berkata, kes pada mulanya diklasifikasi sebagai mati mengejut, bagaimanapun hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada bahagian perut oleh pukulan objek tumpul.

"Justeru, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Tindakan pantas diambil dengan menahan empat suspek lelaki warga asing membabitkan adik-beradik, bapa saudara, dan rakan mangsa," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata, empat suspek itu berusia antara 33 hingga 46 tahun ditahan kira-kira 1.15 tengah hari tadi di Buntong.

Menurutnya, polis turut menjumpai sebuah tukul besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata mendatangkan kematian terhadap mangsa.

"Semua suspek itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 9:11 PM