KEADAAN buruh yang dibunuh.
KEADAAN buruh yang dibunuh.
Adnan Ibrahim


BURUH warga Indonesia mati dibunuh di sebuah pondok kebun kelapa sawit dekat Kampung Bentong, Kluang, malam tadi.

Lelaki berusia berusia 28 tahun terbabit ditemui mati di pondok itu sekitar 10.20 malam dengan kesan tetakan pada dagu dan belakang kepala, selain tikaman di leher serta luka di dada kiri.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, penemuan mayat lelaki itu dilaporkan di Balai Polis Seri Lalang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan polis di situ menemui mangsa dalam keadaan terbaring di hadapan pondok kebun kelapa sawit berkenaan dengan kesan darah di sekeliling lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bunuh terbabit bekerja sebagai buruh di kebun kelapa sawit milik persendirian di kawasan itu sejak 18 bulan lalu dan tinggal di pondok berkenaan bersama tiga lagi rakan senegara.

“Keterangan rakan kepada pemilik kebun kelapa sawit itu mendakwa ada menerima panggilan daripada pemilik kebun berkenaan memaklumkan pekerjanya ditetak empat lelaki.

“Bagaimanapun, semua rakan yang tinggal bersama mangsa di pondok berkenaan dan dipercayai menyaksikan kejadian itu tidak dapat dihubungi selepas melarikan diri kerana ketakutan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Abduh, pasukan dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian untuk mengesan suspek.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati barang peribadi milik mangsa hilang, termasuk seutas rantai emas dan usaha mengesan rakan serumah juga sedang diusahakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 5:15 PM