Antara barangan yang dirampas. FOTO Ihsan polis
Antara barangan yang dirampas. FOTO Ihsan polis
Adnan Ibrahim


DUA lelaki ditahan manakala seorang lagi melarikan diri selepas diserbu anggota polis ketika memecah masuk sebuah bangunan sarang burung walit di Jalan 25, Taman Ilham dekat Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu disergah anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, menyedari kehadiran polis, dua suspek bersembunyi di bahagian bumbung bangunan namun berjaya dikesan hasil bantuan pemilik bangunan itu.

Manakala seorang lagi rakan mereka yang menunggu di dalam kereta melarikan diri dan hampir melanggar salah seorang rakan pemilik bangunan yang datang untuk memberikan bantuan.

Katanya, pemilik bangunan yang menyedari penggera di bangunan berkenaan berbunyi menyebabkan dia bergegas bersama seorang rakan untuk membuat siasatan.

"Sebaik sampai di lokasi, mereka mendapati dua orang sedang berada di atas bumbung bangunan manakala seorang lagi berada di dalam kereta sebelum menghubungi pihak polis.

"Pusat Kawalan Daerah yang menerima maklumat berkaitan kejadian segera memaklumkan kepada anggota RCJ bagi menjalankan siasatan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Abduh, anggota RCJ terpaksa menunggu selama hampir dua jam untuk menangkap suspek berikutan keengganan mereka turun dari atas bumbung bangunan untuk menyerah diri.

"Hasil daripada tangkapan ini, polis berjaya merampas beberapa peralatan seperti tali, spanar boleh laras, pemutar skru, lampu suluh, besi pencangkuk dan baldi yang dipercayai digunakan untuk mengambil sarang burung walit dalam bangunan berkenaan.

"Siasatan rekod lampau, kedua-dua suspek pernah terbabit dalam kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah, kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 307," katanya.

Mohd Abduh berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Januari ini bagi membantu siasatan serta mengesan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 2:34 PM