Burung botak upeh dan bangau ditempatkan dalam satu sangkar.
Burung botak upeh dan bangau ditempatkan dalam satu sangkar.
HM Digital

Taiping: Spesies yang dianggap terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), burung botak upeh (Mycteria cinerea) kini berjaya dibiak dan hidup bebas sekitar Zoo Taiping.

Jika di Perak burung berkenaan sebelum ini banyak didapati di Kuala Gula, Bagan Serai, dekat sini, namun spesies itu sudah tidak lagi kelihatan atau berkurangan di kawasan itu susulan kawasan hutan paya bakau yang semakin terjejas.

Burung berkenaan adalah jenis yang sensitif dan sukar membiak jika habitatnya terganggu sama ada berpunca dari manusia atau pembangunan.

Penjaga Zoo Taiping, Mohd Ashyraaf Nasyriq, 31, yang juga antara individu bertanggungjawab menjaga burung botak upeh di zoo berkenaan berkata, jika terdapat gangguan burung itu akan ‘merajuk’ dan tidak bertelur.

“Kebiasaannya burung ini bertelur antara Mac hingga Julai dan sepanjang tempoh itu sangkar pamerannya ditutup kepada semua pelawat.

“Ini kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini apabila terganggu ia tidak mahu bertelur,” katanya.

Menurutnya, dari segi penjagaan terutama makanan ia tidak terlalu sukar kerana burung berkenaan makan ikan dan cara pemberian makan adalah dengan meletakkan ikan (mati) dalam kolam air agar ia boleh makan sendiri seperti semula jadi.

“Sehari tiga kali burung ini makan dengan diberikan ikan jenis sardin dan kembong iaitu kira-kira 32 kilogram ikan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus berkata, pihaknya mendapat bekalan baka sebanyak 12 burung yang hampir pupus itu dari Zoo Negara untuk dibiak.

“Pada mulanya 12 burung itu diletak di dalam satu sangkar yang besar tidak bercampur dengan burung lain, namun ia tidak membiak.

“Mungkin kerana ia jenis burung kolonial yang mana ia perlu kumpulan jadi kita pindahkan ke sangkar lain bersama burung bangau dan ia membiak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:24 AM