ANGGOTA bomba memadam api daripada merebak ke bangunan berhampiran. FOTO JUWAN RIDUAN
ANGGOTA bomba memadam api daripada merebak ke bangunan berhampiran. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SEORANG lelaki cedera di lengan kanan ketika membantu memadamkan kebakaran yang memusnahkan kedai barangan elektrik di Jalan Tuaran di sini, petang tadi.

Pekerja bengkel berusia 20-an itu dikatakan cedera ketika membantu pemilik kedai berkenaan memadamkan kebakaran dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Pemilik kedai berkenaan, Johnson Chaw, 45, berkata ketika kejadian dia bersama enam pekerja berada di dalam premis perniagaan itu sebelum dikejutkan kebakaran di bahagian stor di belakang bangunan itu.

“Kami cuba memadam api menggunakan alat pemadam api dan air paip namun api semakin marak menyebabkan kami terpaksa keluar menyelamatkan diri.

“Dalam masa sama seorang pekerja bengkel yang membantu memadam kebakaran cedera akibat terkena api di bahagian lengan kanannya.

“Dia kemudian menerima rawatan awal oleh pasukan bomba yang tiba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.36 petang.

Katanya, 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lintas dan BBP Kota Kinabalu bersama lima jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan bangunan kedai yang turut menempatkan stor barangan elektrik.

“Kami mengambil masa sejam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan dapat dikawal sepenuhnya jam 4.15 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Hamsa berkata, usaha memadamkan kebakaran menghadapi kesukaran berikutan pili bomba yang terletak berhampiran bangunan itu tiada air.

“Bagaimanapun dua jentera tangki air dengan muatan 20,000 liter air bagi setiap satu tangki berjaya mengawal api daripada merebak.

“Terdapat dua bengkel dan sebuah kilang berhampiran yang hanya dipisahkan oleh zink namun kita berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:14 PM