PROF Madya Dr Rusdi Omar
PROF Madya Dr Rusdi Omar
Muhaamad Hafis Nawawi


PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tugas berat untuk melantik barisan kabinet yang berkelayakan dan berintegriti bagi membangunkan negara.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, rakyat kini memerhati selepas berlaku pertukaran kerajaan di mana mereka ingin melihat menteri yang dilantik dapat bertugas untuk rakyat bukan berpolitik.

Menurutnya, pelantikan kabinet perlu disegerakan kerana sudah lebih seminggu kemelut politik berlaku sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

“Bagi saya, kabinet yang dilantik nanti mestilah dalam kalangan mereka yang bebas rasuah, berintegriti dan berkaliber untuk membangunkan negara.

“Malah tidak semestinya Ahli Parlimen yang dilantik sebaliknya individu dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mereka dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkelayakan juga boleh dipertimbangkan untuk menjadi menteri.

“Saya juga berpandangan tidak salah melantik menteri dalam kalangan pembangkang yang berkelayakan namun sudah pasti ia agak sukar dilaksanakan,” katanya.

Dr Rusdi berkata, sudah tiba masanya semua pihak pandang ke hadapan dan menghormati serta akur dengan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk membina semula negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi.

“Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya malam tadi ingin menyelamatkan negara, ekonomi dan melantik Menteri yang berintegriti serta bebas rasuah.

“Jadi beliau mempunyai tugas besar untuk meraih kepercayaan rakyat di mana kabinet mesti dipilih dalam kalangan mereka yang betul-betul bebas rasuah,” katanya.

Katanya, jika barisan menteri dilantik berkelayakan sudah pasti rakyat akan menyokong kerana tidak mahu kerajaan yang ada bertukar lagi dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Jika politik stabil sudah pasti ekonomi juga akan stabil kerana ketika ini pelabur asing takut melabur di negara ini. Berilah peluang kerajaan baharu untuk membantu rakyat dan membangunkan negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 11:46 AM