ISU rasuah dijadikan fokus utama manifesto yang diketengahkan oleh parti dan calon bertanding.
ISU rasuah dijadikan fokus utama manifesto yang diketengahkan oleh parti dan calon bertanding.

Kuala Lumpur: Mendekati hari pengundian Sabtu ini, kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat dengan pelbagai isu dibangkitkan calon bagi memastikan undi berpihak kepada mereka dan seterusnya memenangi kawasan yang ditandingi.

Tidak hanya isu setempat, kos sara hidup, kesan ekonomi, peluang pekerjaan dan banjir, isu rasuah juga dijadikan fokus utama manifesto yang diketengahkan oleh parti dan calon bertanding.

Barangkali ia berdasarkan hasil kajian lapangan Ilham Centre pada Oktober lalu yang mendapati lapan peratus daripada 1,622 responden memilih keutamaan membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah, tujuh peratus responden mahu janji menifesto ditunaikan, sementara satu peratus menginginkan reformasi dilaksanakan ke atas institusi dan urus tadbir kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) misalnya, membawa misi memerangi rasuah dengan janji menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali dengan integritinya dan bertekad menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Transparency International menjelang 2030.

Barisan Nasional (BN) pula berjanji akan menghapuskan konflik kepentingan melalui pemisahan jawatan dan fungsi peguam negara serta pendakwa raya, menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen berkenaan cadangan dan tapisan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Gabenor Bank Negara dan menaik taraf Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai suruhanjaya bebas bagi mengukuhkan etika dan integriti awam.

Sementara Perikatan Nasional (PN) berjanji untuk memperkasa Pelan Antirasuah Nasional, mewujudkan mahkamah antirasuah, larangan sumbangan dana politik luar negara, memperteguh kepemimpinan dan tadbir urus berintegriti serta membangunkan kerajaan bebas rasuah.

Mengulas mengenainya, penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, ini kali pertama beliau melihat parti dan gabungan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di negara ini mengambil pendekatan mengutamakan pembinaan negara berintegriti dan memerangi rasuah secara holistik.

"Saya melihat parti politik mengambil pendirian yang positif dan membina dalam memerangi persepsi mengenai rasuah dan mewujudkan negara bebas rasuah.

"Ini tidak pernah berlaku ketika pilihan raya umum lalu kecuali ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, masing-masing pada November tahun lalu dan Mac lalu. Mungkin ini ada kaitan dengan harapan dan kehendak rakyat supaya ahli politik bebas amalan rasuah serta ada juga kaitan dengan skandal 1MDB," katanya kepada Bernama.

Janji memerangi rasuah secara holistik turut dikemukakan oleh calon Bebas.

Malaysia kini berada di tangga ke-62 daripada keseluruhan 180 negara apabila merekodkan kemerosotan kedudukan dalam CPI 2021 dua tahun berturut-turut, jatuh lima anak tangga, berdasarkan penilaian Transparency International (TI).

Pada 2019, negara berada di tangga ke-51, namun merosot enam anak tangga kepada 57 pada tahun berikutnya.

Kerana itu, Manimaran berpandangan parti politik tiada pilihan selain memperkenalkan dasar yang mementingkan amalan berintegriti, telus dan tidak terbabit dalam rasuah.

"Kehendak dan cita rasa pengundi sudah berubah…jadi bagi memenuhi kehendak dan hasrat rakyat yang inginkan pemimpin berwibawa dan berintegriti, parti politik wajar mengambil langkah drastik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 7:10 AM