LIM Meng Seah (kanan) menunjukkan kenderaan yang menjadi sasaran Geng Ah Ho. FOTO IHSAN PDRM
LIM Meng Seah (kanan) menunjukkan kenderaan yang menjadi sasaran Geng Ah Ho. FOTO IHSAN PDRM
Norsyazwani Nasri


POLIS menumpaskan sindiket curi kenderaan Brunei Darussalam di Bandaraya Miri dengan menahan lima Geng Ah Ho dalam beberapa siri tangkapan sejak 19 Februari lalu.

Turut ditahan adalah perancang utama yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kegiatan curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, semua suspek berusia 34 hingga 44 tahun itu ditahan menerusi Ops Lejang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Inspektor Fredly Juing.

“Suspek utama sindiket terbabit ditahan kira-kira jam 1 petang pada 19 Februari lalu di tepi Jalan Tudan Permy.

“Susulan tangkapan itu, empat rakannya ditahan di empat kediaman berasingan iaitu di Jalan Airport, Jalan Luak Bay, Jalan Pujut dan Jalan Lutong-Kuala Baram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan penahanan itu, polis merampas tujuh kenderaan termasuk Toyota Vios dan Toyota Hilux dengan keseluruhan nilai rampasan lebih RM200,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula aktif sejak enam bulan lalu dan mensasarkan kenderaan dari Brunei.

“Modus operandi mereka ialah memecahkan cermin bahagian penumpang belakang dan seterusnya mematikan penggera dengan menggunakan alat penggerudi sebelum menghidupkan enjin menggunakan ‘allen key’,”katanya.

Meng Seah berkata, pihaknya yakin menyelesaikan 12 kes curi kenderaan Brunei dan tempatan serta tiga kes cubaan curi kenderaan, khianat dan cubaan samun.

“Kita masih meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki kumpulan dan kenderaan yang belum ditemukan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 6:10 PM