PESAWAT Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). FOTO BERNAMA
PESAWAT Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

PESAWAT Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memulakan operasi membantu memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri, Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, operasi bantuan pemadaman kebakaran itu kaedah 'Water Bombing'.

"Operasi pemadaman bermula pagi tadi di kawasan kebakaran yang dianggarkan seluas 50 hektar sejak 27 Februari lalu.

"Bahagian Operasi Udara (BOU) menghantar dua set pasukan penerbang yang terdiri dari juruterbang dan anak kapal bagi menyertai operasi pemadaman kebakaran itu.

"Operasi itu dijalankan dengan kerjasama bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Skuad Pantas oleh kerajaan negeri Selangor," katanya pada sidang media di Stesen Udara Subang Maritim, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Wan Md Razali Wan Ismail dan juruterbang pesawat terbabit, Komander Maritim Salihin Hamzah.

Mohammad Rosli berkata, operasi itu dikoordinasi oleh Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor dengan kerjasama BOU dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya.

"APMM menyasarkan sekurang-kurangnya dua sortie (dua penerbangan) setiap hari yang mana akan memakan masa kira-kira empat jam bagi setiap sortie.

"Hari ini sebanyak tiga sortie dijalankan dua sortie di sebelah pagi dan satu sortie di sebelah petang," katanya.

Beliau berkata, pesawat itu mampu membawa kira-kira 6,000 liter air bagi setiap kali (water scooping) di mana setiap kali water scooping mengambil masa hanya 12 saat.

"Pesawat Bombardier sudah membuat 'water scooping' di perairan Bukit Jugra di mana lokasi kebakaran sejauh 10 batu dari kawasan kebakaran.

"Pesawat ini mampu terbang sehingga tiga jam bagi satu penerbangan dan pada operasi pagi tadi pesawat berjaya membuat 30 kali 'water bombing' bagi dua pesawat dan dianggarkan 180,000 liter air digugurkan.

"Pesawat melakukan 'water bombing' meliputi kawasan seluas 15,000 kaki persegi. Kami berharap agar orang ramai tidak mengeruhkan keadaan dengan melakukan pembakaran secara terbuka," katanya.

Pada sortie sebelah petang ini, pengamal media turut dibawa menaiki pesawat terbabit bagi melihat sendiri operasi pemadaman yang dijalankan.

Pesawat itu diterbangkan oleh Kapten Suhaimi Abdul Kadir bersama empat anak kapal itu berlepas dari Stesen Udara Subang Maritim kira-kira jam 2.30 dan operasi mengambil masa selama tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 8:45 PM