ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan Operasi Bersepadu Inter Agensi dengan memeriksa pengguna laluan air,bot dan kapal di perairan Sandakan bermula 25 hingga 28 Februari 2020. FOTO Ihsan Pasukan Polis Marin
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan Operasi Bersepadu Inter Agensi dengan memeriksa pengguna laluan air,bot dan kapal di perairan Sandakan bermula 25 hingga 28 Februari 2020. FOTO Ihsan Pasukan Polis Marin
Hazsyah Abdul Rahman


SERAMAI 255 individu dan 55 kapal serta bot pelbagai jenis diperiksa pada Op Bersepadu Inter Agensi dijalankan di perairan Sandakan, berakhir semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggota PPM Sandakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengadakan operasi terbabit di sekitar perairan bermula dari Tabangka sehingga Seguntor.

Menurutnya, operasi dijalankan sejak 25 sehingga 28 Februari bermula 6 pagi hingga 8 malam setiap hari menggunakan tiga bot tempur iaitu PSC 63, Kilat 33 dan 34 .

“Objektif operasi adalah memberi tumpuan terhadap pengguna-pengguna laluan air yang gagal mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan Sandakan.

“Selain itu, operasi ini dilaksanakan bagi mengesan dan menahan individu yang gagal menyediakan kemudahan keselamatan semasa mengendalikan pengangkutan air seterusnya menyebabkan kemalangan,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya mengeluarkan enam saman mengikut kesalahan di bawah peraturan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Negeri Sabah (JPDS).

“Antara kesalahan dilakukan ialah nama juragan tidak sama seperti dalam lesen serta alat keselamatan tidak mencukupi.

“Selain itu, sebuah bot pam turut dirampas. Tangkapan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 474(1) Kaedah-Kaedah Bot 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 2:35 PM