KEADAAN di Jeti Pelancongan Kuala Besut selepas insiden bot pelancong bertembung bot nelayan. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di Jeti Pelancongan Kuala Besut selepas insiden bot pelancong bertembung bot nelayan. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Seramai 10 individu cedera selepas bot pelancong dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang dari Jeti Pulau Perhentian ke Jeti Pelancongan Kuala Besut, terbalik selepas bertembung dengan bot nelayan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, akibat pertembungan itu, bot membawa pelancong terbalik di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut, kira-kira 3.30 petang.

"Difahamkan bot pelancong itu berlepas Ke Pulau Perhentian pada 9 pagi sebelum bertolak balik ke Jeti Pelancongan Kuala Besut pada 2.30 petang.

"Semua penumpang membabitkan 31 individu yang terbabit insiden itu berjaya diselamatkan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut.

"Hasil rawatan lanjut, 11 mangsa dirujuk ke Hospital Besut, dua daripadanya kritikal dan lapan separa kritikal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes dirujuk kepada Jabatan Laut untuk tindakan mengikut Seksyen 474(1) dan 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Kaedah 3(1) Peraturan Bot.

Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.38 petang berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi kejadian didapati sebuah bot nelayan dan sebuah bot pelancong bertembung dan terbalik berhampiran jeti.

"Operasi tamat pada jam 5.13 petang," katanya.

Operasi menyelamat itu turut membabitkan polis, Angkatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan berkata, ketika berhampiran kawasan itu, dia melihat bot pelancong terbabit bergesel dengan bot nelayan sebelum melambung dan terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 12:47 AM