CHE Adam (duduk) bersama Mohd Rafi (kanan) bergambar bersama pendaki lain di puncak Bukit Besar, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
CHE Adam (duduk) bersama Mohd Rafi (kanan) bergambar bersama pendaki lain di puncak Bukit Besar, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


MISI Pendakian Solo 2 Hari, 8 Bukit dan 8 Daerah berjaya dilunaskan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, hari ini.

Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mengakhiri misi itu dengan jayanya di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 6.30 petang.

Beliau memulakan misi berkenaan di Bukit Harimau Menangis, Kemaman pada 19 Februari lalu. Bukit lain yang ditawan adalah Bukit Bauk di Dungun, Bukit Temiang (Marang), Bukit Balik Hidung (Hulu Terengganu), Bukit Keluang (Besut), Bukit Bidong Darat (Setiu) dan Bukit Maras (Kuala Nerus).

Turut sama meraikan kejayaannya menawan bukit terakhir setinggi 153 meter, isterinya Dr Fauziah Mohd Dali selain, anak Terengganu pertama menawan Gunung Everest iaitu Mohd Rafi Kori, 41.

Che Adam ketika ditemui bersyukur kerana misinya sebagai simbolik permulaan tahun tercapai dan berjalan lancar seperti dirancang.

“Saya membuat persiapan lebih sebulan untuk menjayakan pendakian solo di lapan bukit itu kerana setiap bukit mempunyai cabaran dan rintangan tersendiri.

“Paling mencabar ketika mendaki Bukit Bauk kerana trek yang panjang (11 kilometer) untuk ketinggian 472 meter,” katanya.

Beliau juga berharap misinya menjadi inspirasi orang ramai untuk turut sama menjadikan pendakian aktiviti riadah yang menyihatkan.

Che Adam pada 11 April 2019 pernah melakar sejarah pendakian solo di puncak Gunung Kinabalu dengan membawa Panji Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 8:27 PM