CHE Adam lengkap berbaju Melayu di puncak Gunung Kinabalu. FOTO/ Ihsan APM
CHE Adam lengkap berbaju Melayu di puncak Gunung Kinabalu. FOTO/ Ihsan APM
Ahmad Rabiul Zulkifli


“HASRAT saya untuk memakai baju Melayu lengkap bertanjak dan bersampin di puncak tertinggi di Malaysia tercapai kali ini,” kata Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu itu berjaya menyelesaikan pendakian solo dan mengibarkan Panji Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu di Puncak Gunung Kinabalu pada jam 6.15 pagi semalam selepas memulakan pendakian kelmarin.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai pengarah dan ketua jabatan pertama menjayakan Misi MAKSAK Terengganu De Kinabalu Peak 2019 selain berjaya mencatat rekod peribadi tersendiri menawan puncak tertinggi itu untuk kali kelima.

Che Adam berkata, beliau mula mendaki pada jam 9 pagi dari Pintu Timpohon menuju ke Laban Rata sejauh enam kilometer yang mengambil masa selama enam jam sebelum berehat dan tidur sementara di kawasan berkenaan.

“Perjalanan berbaki sejauh tiga kilometer lagi disambung pada jam 2.30 pagi semalam untuk menuju puncak tertinggi yang menggambil masa lebih empat jam perjalanan.

“Alhamdullilah, perjalanan menawan puncak tertinggi ini berjalan lancar malah keadaan cuaca juga baik

sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau akui berasa bangga apabila berjaya menawan puncak tertinggi itu pada usia 44 tahun sekali gus membuktikan usia bukan penghalang.

“Teruja apabila dapat bergambar dengan busana Melayu tradisional yang lengkap di puncak ini.

“Sambil mengibarkan panji MAKSAK di puncak ini, saya secara tidak langsung dapat memartabatkan dan memperkenalkan busana Melayu ini kepada pendaki lain dari luar negara.

“Memang agak kekok apabila menjadi perhatian kerana mengenakan pakaian itu tetapi demi menunaikan impian, saya ketepikan perasaan itu,” katanya.

Menurutnya, kejayaan kali kelima itu memberikan pengalaman manis kepadanya kerana berjaya menempuh perjalanan yang jauh secara berseorangan.

“Ia satu pengalaman baru dan lebih mencabar apabila melakukan pendakian secara solo berbanding secara berkumpulan selain memberi kepuasan apabila berjaya menyelesaikan misi ini tanpa sebarang masalah.

“Saya juga menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab yang memberikan sokongan serta motivasi sejak bermulanya projek ini,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Che Adam bakal menjadi pengarah dan ketua jabatan pertama yang menjayakan pendakian solo dan mengibarkan Panji MAKSAK Terengganu di Puncak Gunung Kinabalu.

Che Adam berkata, pengalaman empat kali menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu bukan jaminan kepadanya untuk melalui jalan mudah menawan puncak itu buat kali kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:20 AM