Che Adam A Rahman menawan Gunung Kerunai, Perak dalam misi pendakian tujuh gunung di tujuh negeri dalam tempoh tujuh hari. FOTO IHSAN APM
Che Adam A Rahman menawan Gunung Kerunai, Perak dalam misi pendakian tujuh gunung di tujuh negeri dalam tempoh tujuh hari. FOTO IHSAN APM
Ahmad Rabiul Zukifli


Kuala Terengganu: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia dan juga penjawat awam pertama melaksanakan pendakian tujuh gunung di tujuh negeri dalam tempoh tujuh hari.

Cabaran Solo 7 Gunung 7 Negeri 7 Hari itu dijayakannya pada 1 hingga 7 April lalu bermula di Gunung Ledang, Johor (1,276 meter) sebelum berakhir di Gunung Siku, Pahang (1,915 meter).

Kejayaan luar biasa anak jati Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu menawan tujuh puncak gunung dalam tempoh tujuh hari itu bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Che Adam juga berjaya menawan Gunung Angsi, Negeri Sembilan (825 meter), Gunung Hitam, Selangor (1,220 meter), Gunung Kerunai, Perak (1,000 meter), Gunung Jerai, Kedah (1,175 meter) dan Gunung Sarut, Terengganu (1,229 meter).

Beliau berkata, projek dan cabaran solo yang dijayakannya itu ialah sebagai tanda terima kasih dan apresiasi khas kepada petugas barisan hadapan (frontliners) di Malaysia di atas segala pengorbanan dalam merawat dan menangani penularan pandamik Covid-19 di negara ini.

"Semua tujuh gunung yang ditawan diletakkan penanda penghargaan di puncak sebagai tanda kenangan penghargaan tertinggi kepada semua wira barisan hadapan negara.

"Saya juga sempat menyerahkan sumbangan khas kepada wakil barisan hadapan di daerah yang terbabit sebelum memulakan misi mendaki gunung berkenaan.

"Projek itu juga sebagai galakkan kepada aktiviti rekreasi dan pada masa sama menjaga kelestarian keindahan alam semula jadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita mengenai cabaran yang dilalui sepanjang menjayakan projek itu, beliau berkata, cabaran paling utama ialah tempoh masa yang terhad untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

"Saya perlu pastikan tempoh masa yang diambil untuk sampai ke puncak dan turun semula dari gunung tepat seperti masa yang ditetapkan supaya tidak berlaku kelewatan untuk ke gunung seterusnya.

"Masa rehat yang singkat antara pendakian pertama ke pendakian seterusnya juga mencabar fizikal dan mental.

"Pertama kali juga saya mendaki Gunung Jerai dan perlu melalui trek berjalan kaki yang panjang juga cabaran yang dihadapi dalam menjayakan misi ini," katanya.

Menurutnya, projek itu sepatutnya dijayakan pada akhir hujung tahun lalu tetapi kerana bencana banjir selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 menyebabkan projek terbabit terpaksa ditangguhkan.

"Saya menjalani latihan selama dua bulan bagi menjayakan projek itu dan mendapat sokongan serta kerjasama empat urusetia daripada APM Terengganu dan Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 3:14 PM