POLIS rampas rokok dan arak seludup di Klang Utara dan Shah Alam menerusi Op Asap dan Op Methanol, Sabtu lalu. FOTO KKM
POLIS rampas rokok dan arak seludup di Klang Utara dan Shah Alam menerusi Op Asap dan Op Methanol, Sabtu lalu. FOTO KKM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SINDIKET yang aktif menyeludup rokok dan arak dengan anggaran nilai RM3.78 juta berjaya ditumpaskan polis menerusi Op Asap dan Op Methanol dalam serbuan berasingan di dua kilang di Klang Utara dan Shah Alam, Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman susulan daripada maklumat awam.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 18,000 kartun rokok seludup pelbagai jenama dan 3,108 botol minuman keras.

Menurutnya, polis juga turut merampas enam kenderaan masing-masing lima lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan haram berkenaan.

“Dalam operasi sama, polis menahan lapan lelaki masing-masing empat warga tempatan dan empat warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 65 tahun untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara selama 12 hari bermula semalam hingga 27 Februari. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:57 PM