GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Fatihah Sulaini


PANTAI Bukit Keluang di Besut menjadi lokasi terbaharu penemuan

obor-obor jenis Portuguese man o’ war, sekali gus meletakkannya daerah keempat pendaratan spesis itu di Terengganu.

Sebelum ini, obor-obor sama ditemui di Pantai Pulau Kekabu, Marang; Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Pantai Rhu Sepuluh di Setiu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkata, setakat ini belum ada maklumat penemuan obor-obor itu di Dungun mahupun Kemaman.

“Kita sudah mengarahkan pegawai perikanan daerah supaya memaklumkan kepada majlis daerah untuk menaikkan papan tanda amaran tidak mendekati obor-obor itu kerana boleh mengancam nyawa, terutama kanak-kanak.

“Majlis Daerah Marang sudah mengambil inisiatif itu dan ia perlu diikuti daerah lain,” katanya yang ditemui pada Majlis Penutup Program Hari Pengembangan Perikanan Peringkat Negeri Terengganu 2020 di Laman Sri Rhu Sepuluh, Setiu, hari ini.

Program dirasmikan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Hilmi Harun. Hadir sama Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar.

Zawawi berkata, amaran larangan mandi di pantai yang terbabit dijangka berkuat kuasa sehingga minggu kedua Mac, sebelum pemeriksaan semula dilakukan untuk pastikan ia benar-benar bebas obor-obor.

Pihaknya sudah mengambil sampel obor-obor yang ditemui di Pantai Pulau Kekabu dan dilupus dengan cara menanamnya.

Terdahulu, 11 penternak ikan di Kampung Air Tawar, Besut menerima bantuan insentif myGAP berjumlah RM283,500.

Majlis turut dihadiri 159 nelayan dari pelbagai daerah.

Berita berkaitan:

  • Obor-obor 'predator' masih ada [METROTV]
  • Jangan sentuh obor-obor ini [METROTV]
  • Obor-obor 'predator' di Pantai Pulau Kekabu [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:57 PM