PELANCONG di Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) Kota Kinabalu.  FOTO Arkib NSTP.
PELANCONG di Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP.
Siti Sofia Md Nasir


KEMENTERIAN Kewangan akan bertemu semua pemain industri pelancongan Isnin ini, bagi membincangkan pakej rangsangan ekonomi susulan penularan jangkitan koronavirus baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertemuan itu akan membincangkan mengenai sektor pelancongan yang dikhuatiri terjejas akibat wabak yang bermula dari Wuhan, China itu.

“Isnin ini saya akan bertemu dengan semua yang terbabit dengan sektor pelancongan.

“Kita akan adakan perbincangan. Kita harap selepas ia dibentangkan di Kabinet, ini (pakej rangsangan ekonomi) dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Suria di

Georgetown, hari ini.

Kelmarin, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar untuk membantu sektor yang terjejas ekoran jangkitan koronavirus.

MATTA dilaporkan berkata, pihaknya bersama pihak berkepentingan industri utama sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Kementerian Kesihatan dan Tourism Malaysia untuk mewujudkan strategi dalam menangani kemerosotan mengejut dan ketara angka perjalanan ke Malaysia.

Untuk rekod, pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS).

Sementara pada 2009, pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

Sementara itu, Guan Eng menyelar dua akhbar bukan berbahasa Melayu yang didakwa menyiarkan laporan tidak tepat berhubung pakatan nasional.

“Saya minta mereka penjelasan kenapa siarkan berita palsu. Semalam, UMNO sendiri sudah nafikan ada pakatan nasional.

“Perdana Menteri pun tidak sahkan, tetapi mereka katakan Perdana Menteri sahkan. Kebebasan media sepatutnya tidak disalahgunakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 2:17 PM