ORANG ramai memenuhi Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama di Taiping. FOTO Ihsan FB Taiping Zone.
ORANG ramai memenuhi Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama di Taiping. FOTO Ihsan FB Taiping Zone.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) Perak menafikan penganjuran temu duga terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan di beberapa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri ini.

SPA Perak dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya, kaunter perkhidmatan yang dibuka di PDT negeri ini bertujuan membantu orang awam membuat permohonan jawatan kosong yang sedang diiklankan agensi berkenaan.

“Dimaklumkan tiada temu duga terbuka pada 3 hingga 5 Februari.

“Pembukaan kaunter (di PDT) antara lain untuk memberi khidmat nasihat dan membantu pemohon yang mempunyai masalah untuk pendaftaran secara dalam talian,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial orang ramai membanjiri PDT Larut Matang dan Selama (LMS) untuk menghadiri temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan SPA Perak.

Ia susulan tersebarnya surat rasmi dengan kepala surat PDT LMS mengenai hebahan pembukaan kaunter SPA Perak bagi tujuan pendaftaran jawatan kosong 2020 yang ditandatangani Penolong Pegawai Daerah LMS.

Bagaimanapun, mereka hampa apabila dimaklumkan ia bukan temu duga, sebaliknya bantuan permohonan jawatan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 4:55 PM