Omar Ahmad


Johor Bahru: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menganggarkan 15,000 kekosongan jawatan tetap perlu diisi setiap tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Utama Zainal Rahim Seman berkata, bagi kekosongan jawatan secara kontrak pula dianggarkan mencecah 40,000 setiap tahun.

Namun katanya jumlah kekosongan jawatan itu bergantung kepada keperluan jabatan, kementerian dan agensi.

"Jumlah kekosongan sentiasa berubah bergantung jabatan, kementerian dan agensi. Purata anggaran sehingga 15,000 kekosongan jawatan tetap sebab setiap tahun ada kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara.

"Dianggarkan 25,000 hingga 30,000 kakitangan awam ini akan melalui tempoh persaraan setiap tahun dan kita isi (kekosongan) mengikut keperluan tertentu.

"Bagi jawatan baru bergantung kepada portfolio kementerian. Contohnya ada kementerian yang perlukan jawatan baru, terdapat isu lantikan seperti doktor kontrak ke jawatan tetap, ini semua bergantung kepada kementerian yang buat perancangan," katanya.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Zainal berkata, kementerian merancang kekosongan dan SPA berbincang syarat-syarat serta tapisan. SPA tidak boleh isi semua kerana ia bersabit dengan keperluan kewangan. Namun kebijaksanaan merancang perlu supaya fungsi dan peranan kementerian dapat dilaksana dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA Johor di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.

Katanya, Pusat Temu Duga SPA Johor menerima kunjungan calon paling ramai setiap tahun dan berdasarkan statistik SPA pada 2020 sehingga Jun 2023, seramai 472,947 permohonan diterima di kalangan anak muda Johor.

"Daripada jumlah itu, seramai 32,478 dijemput menghadiri temu duga dan 22,638 hadir menyaksikan seramai 4,374 orang dilantik ke jawatan tetap dan 2,639 orang dilantik secara kontrak," katanya.

Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru adalah pusat temu duga keenam yang ditempatkan di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) selain di Ipoh, Perak, Georgetown, Pulau Pinang, Kangar, Perlis, Miri dan Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:22 PM