TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO BERNAMA.
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO BERNAMA.
BERNAMA

SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan, hari ini, atas sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah RM7,700 pada tahun lalu.

Pengakuan Sharin Safami Zainudin, 34, yang berasal dari Terengganu direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Dia didakwa menerima rasuah itu antara 11 April hingga 14 Ogos 2019 di Maybank cawangan Taman Tas, Kuantan daripada tiga pemilik lori yang didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lori melebihi muatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas sebagai Pembantu Penguat kuasa di Stesen Penguatkuasaan Timbang Paya Rambutan, membabitkan jumlah suapan antara RM200 ke RM1,000.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.

Mohd Ghazali membenarkan permohonan pendakwaan yang menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selepas tidak menerima bantahan daripada peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula pada 9 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 3:36 PM