KHAIRUL Azizi (kiri) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lalu. FOTO BERNAMA
KHAIRUL Azizi (kiri) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang guru besar selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, 55, dihukum penjara tambahan selama 12 bulan, jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Khairul Azizi didakwa melakukan kesalahan itu semasa berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebuah sekolah rendah, di sini, dengan mencadangkan syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise kepada guru besar sekolah terbabit bagi urusan bayaran pesanan sekolah.

Ia membabitkan bayaran berkaitan peruntukan perahu layar bagi latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) bernilai RM1,200 pada 19 Mac 2014 dan bayaran RM700 bagi program perahu layar anjuran Kementerian Pendidikan pada 15 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa beliau sudah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun dan dilantik sebagai guru besar pada 2016.

"Kesalahan dilakukan semasa saya guru penolong kanan dan semasa itu, tidak pernah mengikuti apa-apa kursus formal berkaitan pengurusan kewangan kerajaan. Sebagai jurulatih MSSP, saya cuba memaksimumkan nilai ringgit yang diperuntukkan bagi memastikan sukan perahu layar berada di landasan yang betul.

"Murid yang terlibat datang dari pelbagai daerah seperti Rompin, Jerantut, Bentong dan Kuantan. Saya mengorbankan masa dan wang ringgit membantu mereka kerana ada yang datang daripada keluarga susah sedangkan sukan perahu layar agak mahal.

"Sepanjang saya menguruskan sukan ini sejak 2010 hingga sekarang, sukan pelayaran telah melahirkan ramai atlet termasuk ke peringkat Olimpik di Jepun tahun lepas," katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Khairul Azizi juga memaklumkan tidak pernah mengulangi kesilapan itu dan mengikuti setiap tatacara pengurusan kewangan kerajaan apabila mengikuti kursus berkaitan hal terbabit selepas bergelar guru besar.

Selain itu, beliau juga memohon ihsan mahkamah menjatuhkan hukuman rendah kerana menanggung beban hutang dalam menyara isteri yang kini tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 2:30 PM