ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas menerusi Ops Benteng di kawasan perairan Tinagat, dekat sini, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PPM.
ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas menerusi Ops Benteng di kawasan perairan Tinagat, dekat sini, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 2,000 bungkus rokok putih menerusi Op Benteng di Tinagat, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.20 pagi itu, rondaan anggota PPM mengesan bot laju dari arah Batu 4, menuju ke kawasan perairan Inderasabah.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, bot terbabit memecut sebaik menyedari kehadiran bot PPM.

"Selepas beberapa minit dikejar, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, bot dikendalikan seorang suspek lelaki melanggar bahagian tepi sebelah kanan Botronda PSC 6.

"Akibat pelanggaran itu, bot berkenaan terbalik sementara suspek berenang ke kawasan tepi pantai, sebelum gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot laju berkenaan membawa muatan plastik hitam mengandungi rokok tidak bercukai.

"Kesemua barang rampasan terbabit termasuk bot laju bersama satu unit enjin sangkut dianggarkan bernilai RM36,540 dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 11:04 AM