GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Baharom Bakar


KIRA-KIRA 20 remaja termasuk beberapa wanita masih menjalankan kegiatan menjaja jeruk di kawasan lampu isyarat, di sini, walaupun arahan larangan dikuatkuasakan, sejak akhir Disember lalu.

Golongan itu menjalankan kegiatan menjaja jeruk mempelam asam boi di kawasan lampu isyarat antara 11 pagi dan 5 petang setiap hari.

Jumlah penjaja jalanan terdiri daripada golongan remaja itu bertambah antara tujuh orang hingga 15 orang, jika musim cuti am.

Tinjauan di beberapa kawasan lampu isyarat mendapati hanya terdapat tiga dan lima orang penjaja jalanan, pada hari biasa.

“Kami sedar kegiatan dijalankan menyalahi peraturan, tapi dalam keadaan kesukaran mendapatkan pekerjaan, kami terpaksa menjaja.

“Walaupun komisyen hasil jualan di perolehi semakin berkurangan, tetapi demi mencari rezeki halal, kami terpaksa menjaja di sini,” kata beberapa penjaja jalanan yang enggan namanya disiarkan.

Seorang penjaja jalanan yang hanya mahu dikenali dengan nama Amir mengakui, sejak kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan akhir Disember lalu, beberapa rakannya ditahan dan disaman.

“Kami bukannya sengaja untuk ingkar apa lagi bermaksud mencabar larangan kerajaan dan agensi penguat kuasa, tetapi kami hanya mencari rezeki secara halal.

“Pendapatan hasil komisyen yang kami perolehi hanya antara RM30 dan RM50 sehari,” jelasnya.

Ketika diminta jika terdapat operasi dijalankan pasukan penguat kuasa, Amir mengakui dia dan rakan akan melarikan diri walaupun ada ketikanya hampir dilanggar motosikal dan kereta. “Kami akui kerajaan ada menawarkan tempat dan gerai untuk berniaga, tetapi masalah dihadapi adalah untuk mendapatkan modal selain kaedah berniaga dalam bangunan tidak mendapat sambutan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menegaskan menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat adalah menyalahi peraturan undang-undang di bawah Peraturan Lalu Lintas 1959.

Selain itu, jelasnya, penjaja jalanan itu juga menyalahi peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga dan Antipercatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.

“Kerajaan bersama beberapa agensi penguat kuasa akan terus melakukan pemantauan kegiatan penjaja jalanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 10:47 AM