Penjaja mangga jalanan di persimpangan lampu isyarat di daerah ini. Foto Azrul Edham.
Penjaja mangga jalanan di persimpangan lampu isyarat di daerah ini. Foto Azrul Edham.
Ahmad Hasbi


Seremban: Perlu diingatkan jalan raya bukan lokasi untuk menjalankan sebarang urusan perniagaan walaupun jualannya sangat laris.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Razali berkata, trend menjaja di persimpangan lampu isyarat ini berkembang sejak pandemik Covid-19.

"Pihak berkuasa pada waktu itu menganggap rakyat sedang bertarung dengan ekonomi susulan kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak berkenaan dan memilih bekerja atau menjual jeruk mangga ini. Kini, keadaan semakin stabil namun penjual semakin ramai.

"Sebelum ini, kita beranggapan penjaja mengusahakan perniagaan mangga itu sendiri, namun sebenarnya di belakangnya ada majikan yang menggajikan mereka," katanya dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, MBS menyediakan pelbagai kemudahan kepada penjaja atau usahawan kecil untuk menjalankan perniagaan di premis dan lokasi yang sepatutnya.

"MBS menyediakan kiosk, tapak penjaja dan sebagainya dengan bayaran yang sangat rendah bagi usahawan kecil. Mohon dengan MBS, kita akan permudahkan.

"Ada yang mengatakan lokasi tapak penjaja atau kiosk ini tidak strategik yang menyebabkan jualan tidak laris. Ini semua bergantung kepada ilmu pemasaran masing-masing, malah dengan teknologi kini, mereka boleh menggunakan media sosial," katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap penjaja jalanan ini, Masri berkata, pihaknya tidak tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang dan hanya tertumpu kepada kempen kesedaran.

"Kalau lesen, mereka ini sudah semestinya tiada lesen. Bagaimanapun, kawasan mereka menjaja itu di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penguatkuasaan pula di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf senada dengan MBS yang menyeru penjaja supaya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung lokasi dan lesen perniagaan yang mengikut peraturan.

"Segala aspek perundangan perlu dipatuhi supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai. Siri advokasi yang dijalankan sebelum ini diharapkan dapat menjadi panduan dan peringatan kepada mereka mengenai kesalahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 11:51 AM