ANGGOTA JSPT mengeluarkan 215 saman ke atas penjaja jalanan bermula 13 Disember hingga Jumaat lalu. FOTO ihsan PDRM
ANGGOTA JSPT mengeluarkan 215 saman ke atas penjaja jalanan bermula 13 Disember hingga Jumaat lalu. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan 215 saman ke atas penjaja dengan 11 rampasan dalam Op Khas (Penjaja Jalanan) bermula 13 Disember hingga Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aktiviti penjaja jalanan menjadi satu trend perniagaan yang berleluasa sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, lokasi yang sering berlakunya aktiviti itu adalah di persimpangan lampu isyarat dengan penjaja menjual jeruk mangga dan lain-lain makanan serta minuman.

"Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal, boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Penjualan sebegini adalah satu kesalahan mengikut Kaedah 10a (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (ln 166/59) menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di mana-mana jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, justeru itu, JSPT melaksanakan operasi itu di seluruh negara selama 19 hari yang mana sebanyak 215 saman dikeluarkan ke atas penjaja.

"Manakala 137 tindakan advokasi iaitu peringatan tegas diberikan supaya penjualan dihentikan serta-merta.

"JSPT menggesa kepada semua pengusaha dan penjaja jalanan supaya menghentikan penjualan jeruk mangga, makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya," katanya.

Beliau berkata, JSPT komited akan menjalankan operasi sebegini secara berterusan supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang ditetapkan.

"Mana-mana individu yang terbabit dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:24 PM