PEGUAM kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Kumar Thangaraju (kanan) hadir pada pengurusan kes saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
PEGUAM kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Kumar Thangaraju (kanan) hadir pada pengurusan kes saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
BERNAMA

SETIAUSAHA Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman terhadap Muhammed Yusoff Rawther berhubung kata-kata fitnah mendakwa beliau dipukul dan dicederakan.

Saman itu difailkan Farhash, 38, selaku plaintif menerusi Tetuan Kumar Thangaraju & Co pada 24 Januari lalu dan menamakan Muhammed Yusoff, 27, yang merupakan bekas pegawai penyelidik Anwar sebagai defendan.

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom hari ini, yang dihadiri peguam T Kumar mewakili Farhash.

Kumar memberitahu pemberita bahawa writ saman itu belum diserahkan kepada defendan dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes kali pertama.

Dalam penyataan tuntutan, Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak mendakwa defendan mengadakan sidang media di Lembah Klang pada 4 Disember tahun lalu yang dihadiri wartawan media.

Plaintif mendakwa rakaman video sidang media itu dimasukkan ke dalam akaun Facebook yang dinamakan sebagai ‘Solidariti Buat Muhammed Yusoff Rawter’ dan video itu diedarkan secara meluas melalui media sosial.

Farhash mendakwa kata-kata memudaratkan itu telah diterbitkan dengan niat jahat oleh defendan untuk menjejaskan imej dan reputasi beliau sebagai seorang ahli politik PKR dalam kalangan umum.

Katanya, satu notis tuntutan dikeluarkan pada 30 Disember tahun lalu bagi menuntut defendan menarik balik semua kata-kata itu dan mengemukakan permohonan maaf, namun pada 31 Disember tahun lalu, defendan melalui peguamnya Tetuan Haniff Khatri dalam surat jawapan menafikan dakwaan itu.

Plaintif mendakwa sehingga kini defendan masih enggan mematuhi tuntutan plaintif melalui notis tuntutan itu dan laman Facebook video itu masih boleh diakses oleh umum.

Plaintif menuntut suatu perintah injunksi menghalang defendan atau ejen defendan daripada menerbitkan dan atau menyambung penerbitan kata-kata memudaratkan atau fitnah yang sama atau serupa terhadap plaintif, ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah ke atas jumlah ganti rugi dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 2:59 PM