FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


SEORANG pakar psikiatri yang tular di laman sosial kerana dipercayai mengganggu bekas pesakitnya dengan perkataan lucah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Tertuduh, Dr Gurdeep Singh Narain Singh, 42, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Dr Gurdeep didakwa atas mengganggu kesantunan seorang perempuan berusia 26 tahun dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada jam 4.30 petang, 12 Februari tahun lalu.

Tertuduh yang kini tidak lagi bekerja didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, P Vitiya Monisha, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun, Dr Gurdeep dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay memohon diberikan jaminan ringan.

Mahkamah membenarkan Dr Gurdeep diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, peguam Francis Pereira hadir ke mahkamah sebagai peguam pemerhati mewakili mangsa.

Sebelum ini, tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan sama, bagaimanapun, dia lepas tanpa dibebaskan pada 13 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 3:03 PM