FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


PAKAR psikiatri hospital swasta yang kisahnya tular di media sosial kerana mengganggu bekas pesakitnya menerusi WhatsApp didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Dr Gurdeep Singh Narain Singh, 41, yang kini tidak bekerja didakwa atas tuduhan menyebut perkataan lucah terhadap mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat untuk mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 25 tahun dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hospital di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 4.30 petang, 12 Februari lalu dan pendakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P Vithiya Monisa menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun, lelaki itu yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan rendah atas alasan tidak bekerja dan memberikan kerjasama baik.

Dalam prosiding itu, peguam Francis Pereira hadir ke mahkamah sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Mahkamah membenarkan Gurdeep diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, perbualan menerusi aplikasi Whatsapp antara tertuduh dan mangsa tular di media sosial sekitar Julai lalu dan tertuduh digantung kerja serta-merta sebelum diberhentikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:17 PM