Mohd Amin Jalil


LELAKI yang memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 259 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Seremban, menerima padah apabila ditahan polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada 8.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan susulan satu video berdurasi dua minit 44 saat tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan kereta Perodua Bezza berwarna hitam dipandu suspek secara melawan arah.

“Tindakan itu dilakukan suspek di lorong laju di Kilometer 259 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), antara Plaza Tol Port Dickson ke Plaza Tol Seremban.

“Hasil siasatan lanjut, polis mendapati kejadian berlaku pada 3.30 pagi 18 Januari apabila suspek melalui lebuh raya menuju ke arah utara secara melawan arus.

“Bertindak di atas rakaman video terbabit, pada 8.30 malam 21 Januari, polis berjaya mengesan dan menahan suspek seterusnya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban bagi siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Said berkata, hasil keputusan ujian saringan awal air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah dan alkohol.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari dari 22 hingga 24 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi dua minit 44 saat memaparkan kereta Perodua Bezza berwarna hitam dipandu secara melawan arus.

Video itu dipercayai dirakam pengguna lebuh raya sebelum polis peronda lebuh raya membuat laporan di IPD Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:03 PM
LELAKI yang memandu secara melawan arus di KM 259 Lebuhraya PLUS ditahan polis, malam kelmarin. FOTO video tular.
LELAKI yang memandu secara melawan arus di KM 259 Lebuhraya PLUS ditahan polis, malam kelmarin. FOTO video tular.